Pembatalan Muadalah Al-Azhar, Satu Muhasabah Bersama
Isu yang mahu saya kupas ini barangkali tenggelam dengan beberapa kebobrokan yang berlaku dalam negara yang pada saya amat memualkan dan memalukan. Dari kes tuduhan qazaf hinggalah kepada pilihanraya permatang pauh seolah-olah menutup isu penting yang melibatkan nasib dan masa depan ratusan anak muda.
Pembatalan program berkembar 3+1 dan muadalah Malaysia secara rasminya oleh Universiti Al-Azhar dua bulan lepas barangkali tidaklah mendapat liputan meluas daripada akhbar perdana Malaysia. Permohonan rayuan oleh Persatuan Muadalah Malaysia Al-Azhar (IKBA) sebanyak dua kali juga barangkali tidak dihebahkan.
Secara rasmi permohonan tersebut tidak dilayan dengan menggunakan surat rasmi daripada Kementerian Pengajian Tinggi pada kali pertama dan surat Perdana Menteri pada rayuan kedua tidak membawa apa-apa perubahan.
Itu cerita benar yang diperolehi daripada salah seorang wakil IKBA semasa kunjungan rayuan kali
kedua. SMS yang saya terima daripada Dr Johari Mat, Setiausaha (IKBA) menjawab SMS saya bertanyakan tentang keputusan Al-Azhar ” Bulan gelap tak mengambang “. Ia memberikan kefahaman pada saya bahawa rayuan itu secara rasminya tidak diterima dan secara sahnya muadalah Malaysia dengan Universiti Al-Azhar dibatalkan.
Persoalan mungkin? Saya tidak mahu membuat tuduhan. Apa lagi meludahkan kekecewaan dengan menunding jari mencari salah siapa. Saya juga agak keberatan untuk sama terlibat dalam tuduh menuduh. Saya langsung tidak berminat dengan perkara tidak jelas tersebut.
Tanpa bukti dan sebagai mahasiswa matang kita perlu rasional dalam menguruskan perkara serumit ini. Ia bagaikan menarik rambut dalam tepung, rambut tidak boleh putus dan tepung juga tidak boleh berselerak. Hati-hati dalam menyusun kata agar padahnya tidak akan mempalitkan binasa untuk kita juga akhirnya.
Saya faham dan amat-amat mengerti bagaimana perasaan dan tekanan yang sedang dihadapi oleh mahasiswa/i muadalah yang telah menghabiskan pengajian dan selama masa itu juga telah melakar impian untuk berada di Universiti Al-Azhar. Saya amat-amat mengerti dan bersimpati.
Saya juga pernah alaminya. Dinafikan hak dan status layak untuk berada di tahun satu Universiti Al-Azhar 6 tahun yang lalu dengan menggunakan sijil STU. Bukan saya seorang tetapi ratusan pelajar STU pada masa itu (2000 dan 2001) yang terpaksa akur dengan keputusan pihak-pihak berkenaan. Saya pernah alaminya dan pesan saya tiada Tuhan kedua mahupun seterusnya dalam hidup kita sebagai orang yang beriman melainkan Allah Subhanu Wataala. Anda faham bukan? Dan saya tidak mahu mengembalikan nostalgia lama.
Kisah pembatalan ini berulang kembali. Ya, ia bukan sejarah yang mengulangi dirinya tetapi ia adalah sebagaimana yang pernah disebutkan oleh HAMKA ketika ditanya oleh anaknya tentang teori sejarah mengulangi dirinya. Lantas HAMKA menjawab “ Tidak anakku, sejarah tidaklah mengulangi dirinya tetapi perangai manusia disepanjang zaman yang akan menentukannya”. Faham-fahamkan ya
Pada saya pembatalalan muadalah perlu di jadikan titik muhasabah kepada golongan-golongan berikut :
1. Pimpinan Kerajaan Malaysia
2. Keduataan Malaysia Kaherah
3. Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK)
4. Institusi-institusi muadalah parasit
5. Mahasiswa/i muadalah
Saya nyatakan kelima-lima penama di atas sebagai mereka yang bertanggungjawab untuk melakukan muhasabah atas perkara besar ini. Sama ada ilgha’ muadalah (batal muadalah) adalah selamanya atau sementara tetapi perkara ini perlu dimuhasabah bersama.
Pimpinan Kerajaan Malaysia
Terima kasih dan penghargaan perlu dirakamkan buat Kementerian Pengajian Tinggi dan YAB Perdana Menteri atas surat sokongan semasa rundingan IKBA dengan pihak Al-Azhar.
Sebagai pemimpin sebuah kerajaan yang sepatutnya mewakali semua golongan dan lapisan rakyat, pertanyaan kiranya layak saya nyatakan “Apakah persepsi kalian terhadap golongan mahasiswa agama.
Saya agak berkecil hati kalau-kalau kenyataan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dalam Parlimen dan kenyataan Timbalan Perdana Menteri tentang mahasiswa pengajian Islam umunya dan pelajar Al-Azhar khasnya dalam menjawab isu-isu ini di media perdana baru-baru ini adalah benar-benar atas fikiran dan kefahaman yang berhormat.
Kenapa prejudis sekali terhadap rakyat jelata dan walau bagaimanapun saya optimis kenyataan tersebut akan dijadikan muhasabah bersama seluruh mahasiswa pengajian Islam.
Muhasabah yang mahu saya nyatakan adalah kenapa tindakan rasmi yang lebih besar selain daripada hanya dua pucuk surat diambil sebaik sahaja surat rasmi pembatalan tersebut dikeluarkan oleh Universiti Al-Azhar.
Pada saya peluang untuk membuat MOU atau dan muadalah universiti luar negara seperti Al-Azhar amat besar nilainya pada semua pihak samada kerajaan ataupin rakyat. Kenapa dibiarkan sahaja pembatalan tersebut tanpa apa-apa respon positif untuk membantu dengan lebih serius dan tidak perlu saya sebut di sini bagaimana sebuah kerajaan mahu berurusan dengan kerajaan yang lain.
TYT Dato’ Duta Besar Malaysia di Mesir Dan Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK)
Tidak selayaknya saya membuat tuduhan dan semestinya saya bukan mahu menuduh. Saya kaitkan TYT Dato; Duta Malaysia di Mesir dalam muhasabah ini hanyalah sebagai mengenangkan TYT Dato’ adalah penghubung antara dua pihak ; Malaysia – Mesir.
Peranan yang besar dan pengaruh yang kuat dengan Universiti Al-Azhar bukan calang-calang tugas. Ianya kalau digunakan dangan betul mampu menatijahkan penjelasan yang baik kepada pihak Al-Azhar berhubung dengan masalah ini. Barangkali tugas itu telah disempurnakan oleh TYT tetapi saya agak terkilan apabila kesungguhan itu langsung tidak nampak dan natijahnya amat-amat memeritkan.
Saya mohon maaf andai kenyataan saya ini nampaknya mahu mempertikai wibawa TYT Dato’ tetapi barangkali berhak saya sebut sebagai muhasabah bersama agar tidak berlaku di masa akan datang “yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran”.
Muhasabah yang maksudkan terhadap JPMK pula hanyalah dari sudut laporan dan kebenaran yang benar-benar berfakta perlu disediakan mewakli mahasiswa/ Al-Azhar kepada pihak-pihak berkenaan.
Bukan maksud saya mempertikai laporan yang disediakan tetapi kenapa persoalan yang ditimbulkan oleh Universiti Al-Azhar dan tunjuk sebab pembatalan yang diterjemahkan oleh pihak JPMK/Duta seolah-olah menunjukkan ada laporang yang kurang elok telah diberikan kepada pihak Al-Azhar berhubung dengan pelajar muadalah.
Barangkali saya tidaklah mahu menunding jari kepada mana-mana individu tetapi secara tanggungjawab bersama wajarlah kiranya muhasabah ini diambil kira. Sekali lagi mahu saya katakan bahawa, amat rugi sekali peluang dan hak keistimewaan yang diberikan oleh Al-Azhar ini dinafikan dengan hanya bersebabkan maklumat sebelah pihak.
Saya tidak salahkan JPMK tetapi apa yang mahu saya persoalkan adalah “Maklumat yang bagimana telah diberikan hingga membawa kepada pembatalan drastik oleh pihak Al-Azhar?” Fikir-fikirkan sebagai muhasabah bersama.
Dalam kenyataan ini juga saya tidak menyalahkan pihak TYT Dato’ Duta Besar Malaysia Kaherah dan pihak Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah atas sebab pembatalan. Saya juga ingin tegaskan bahawa muhasabah ini bukanlah mahu menafikan beberapa bantuan dan kerjasama yang diberikan dalam proses rayuan.
Saya juga telah dimaklumkan oleh wakil IKBA yang datang berunding dengan pihak Al-Azhar tentang bantuan yang diberikan cuma persoalan saya hanyalah berkisar tentang sejauh mana kesungguhan dan keseriusan dalam hal ini.
Kolej-kolej muadalah parasit
Pepatah melayu ada mengatakan “ Kerana nila setitik habis dibuang susu sebelanga”. Ia pepatah yang amat tepat untuk saya gambarkan kekecewaan saya terhadap sebilangan kecil kolej parasit yang tidak melakukan pengambilan dan penghantaran pelajar muadalah dengan betul. Barangkali pelbagai hujah diberikan dan saya tidak berminat untuk menghuraikan hujah-hujah tersebut.
Persoalan yang saya mahu nayatakan “dimanakah nilai akademik dan amanah ilmu dalam mendaki tangga yang namanya sijil Universiti Al-Azhar. Saya tidak nyatakan semua tidak boleh begitu kerana setiap perkara adanya rukhsah dan darurat tetapi sampai mempalitkan kesan pada yang lain pada saya tidak patut.
Muhasabah besar pada saya perlu dilakukan oleh IKBA adalah bagaimana untuk mengenal pasti kolej-kolej parasit yang hanya berorientasikan wang ini dinyahkan jauh daripada terus kacau daun. Ikut undang-undang, prosedur, amanah dengan nilaian ilmu dan tanpa mementingkan hanya semata-mata wang adalah misi besar IKBA yang sepatutnya dimainkan.
Pujian dan dedeikasi khas barangkali tidak boleh dilupakan buat IKBA atas inisiatif besar dalam membuat rundingan demi rundingan hingga penamatnya ilgha’ muadalah (batal muadalah) secara rasminya diteruskan pada tahun ini. Walaubagaimanapun saya optimis pembatalan ini masih boleh dirunding untuk tahun-tahun akan datang.
Mahasiswa/i muadalah
Seperti biasa, saya ingin merujuk kepada sebab-sebab pembatalan muadalah sebagaimana surat terjemahan TYT Dato’ Duta Besar Malaysia Kaherah kepada IKBA dan kolej-kolej Muadalah Malaysia – Al-Azhar sebagai muhasabah bersama semua mahsiswa/i muadalah samada mangsa sekatan, yang sedang belajar atau lepasan muadalah BA Al-Azhar yang telah tamat belajar. Jadikan ianya sebagai muhasabah bersama. Antara kelemahan Bahasa Arab dan ianya pada pandangan saya perlu dimuhasabahkan secara bersama semua mahasiswa Pengajian Islam.
Kesimpulan
Beberapa muhasabah yang saya masukkan dalam kenyataan saya kali ini harapnya tidak disalah ertikan. Niat saya hanya satu membela dan mengembalikan hak ratusan mahasiswa muadalah daripada 17 kolej yang dinafikan hak.
Mohd Zaim Irsyad
Gabungan Mahasiswa Membantah Pembatalan MOU Al-Azhar
